Tuesday 10 July 2012

Jelajah Sofi 2012 #3 - Makam Sheikh Umar Basheer Pulau Pinang


Dari makam Tok Temong, Kami menuju ke Makam Sheikh Umar Basheer di Kampung Melayu Air Hitam Pulau Pinang. Tujuan sebenar kami sebenarnya ingin ke makam datok kepada Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) iaitu antara murshid tarekah pada zamannya. Tetapi kerana mendapat sedikit maklumat Ayah membawa kami ke makam Sheikh Umar Basheer.



Sheikh Umar Basheer dikatakan datang daripada Iraq, tetapi ada sumber sahih mengatakan beliau datang dari Hadrawmaut Yamen. Semasa hayatnya beliau adalah khalifah tarekah Naqshabandiah Al Khalidi yang membuatkan beliau mendapat gelaran Al-Khalidi. Di katakan beliau adalah orang yang mengembangkan Tarekah Naqshabandiah Al Khalidi  dan ibadah suluk di Pulau Pinang yang mana tarekah ini datang dari Maulana Sheikh Khalid Al Baghdadi yang di makamkan di Damascus Syria.

Beliau hidup di zaman pemerintahan British lagi. Dikatakan orang melayu Pulau Pinang berjanji dihadapannya agar tidak berpecah belah dan menyertai pertubuhan pertubuhan yang boleh memecahkan persaudaraan umat islam di sana.

Selepas kematian beliau, Anaknya iaitu Sheikh Zakaria mengambil alih tugas dakwah beliau untuk menegakkan agama Islam. Dan kemudiannya Anaknya dilantik menjadi Mufti  pertama Pulau Pinang. Manakala salah seorang anaknya lagi iaitu Sheikh Yahya juga dikatakan meneruskan perjuangan beliau dan di lantik menjadi Qadi pertama di Pulau Pinang.

Makam beliau terletak dibawah sebuah kubah setinggi 35 kaki, dikatakan dibina oleh orang islam dari India. Ini adalah makam yang terindah yang pernah kami tiba setakat ini. Begitulah Allah megistimewakan para kekasihnya yang mati di jalan Allah SWT, Tetapi kita membiarkan makam makam seperti ini terbiar dan tidak mempedulikan ia lagi. Bagaimana kita hendak mencintai Allah jika kita sendiri tidak mempedulikan para kekasihnya.



Al- Fatehah...


Kami mengambil lagi kesempatan berzikir manakib Sheikh Abdul Qadir Al Jailani dan berdoa di makam yang penuh barakah ini.


Apa yang menyedihkan kami semua ialah ketika di sini, terdapat sebuah masjid lama di sebelah makam Sheikh Umar yang dibawahnya terdapat bilik bilik suluk  yang dipercayai dibina oleh Sheikh Umar untuk pengikut pengikutnya beribadah mengabdikan diri pada Allah. Namun kini kami dapati rumah rumah ibadah itu disewakan kepada orang bukan islam, kerana terdapat gambar gambar patung di pintu bilik bilik suluk tersebut. Seperti tempat tempat lain yang kami lawati, amalan Tarekah untuk mendekatkan diri kepada Allah semakin pupus kerana ramai dikalangan kita kini terlalai dengan Dunia.

Kami meneruskan lagi perjalanan kami, destinasi kami selepas ini ialah ke Rumah Suluk yang di pendang yang kini di tadbir oleh sahabat ayah, Hj Sanusi guru Mahad Tahfezz dan khalifah tarekah Naqshabandiah Khalidiah di pendang.

bersambung

-Anak Nurrussaadah-

Monday 9 July 2012

Jelajah Sofi 2012 #2 - Makam Purba Tok Temong

Kami meneruskan perjalanan. Makam yang kami tuju kali ini adalah makam Tok Temong
Tok Temong memainkan peranan besar dalam pembentukan sistem diraja di Perak. Seperti yang di catatkan beliau adalah pemerintah daerah Temong sebelum bermulanya pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I (1528-1549). Di hari pertabalan baginda beliau telah dihadiahkan sebuah geliga embun yang dijadikan sebagai salah satu alat kebesaran di raja hingga hari ini.
Beliau juga adalah orang yang bertanggung jawab menyerahkan jajahan ulu perak kepada kerajaan negeri perak yang ada sekarang ini.



Ada yang mengatakan tok temong ini adalah seorang perempuan berdasarkan bentuk batu nesan aceh. ada yang mengatakan beliau ghaib tak dikesan dan yang di makamkan ini hanyalah tongkat nya sahaja. wallahualam..

Apa pun yang di perkatakan itu. bagi saya kubur purba ini merupakan sebahagian penting dari sejarah pembentukan negeri perak. Saya percaya Tok Temong adalah orang yang berpengaruh pada ketika dahulu dan merupakan orang yang berilmu. Kerana pada saya pada waktu dulu kebanyakkan orang yang berpengaruh besar merupakan orang orang yang berilmu dan kuat pegangan agamanya, seperti tok janggut, tok gajah ,dato dol said dan lain lain.

Apa yang menarik pandangan saya ialah batu nesan Tok Temong ini di bungkuskan kain kuning sama seperti makam makam diraja.

Kami mengambil kesempatan bertahlil dan berdoa di makam ini.



kami meneruskan perjalanan kami semula, destinasi kami kali ini ialah pulau pinang.

-Anak Nurrussaadah-

Sunday 8 July 2012

Jelajah Sofi 2012 #1- Makam YTM Raja Kecil Sulong Perak, Dato’ Seri Ashman Shah

Jelajah Sofi tahun 2012 kali ini membawa kami semua ke utara semenanjung. Kami bertolak dari Baitul Ibadah Nurrussaadah selepas selesai tawajuh. Lebih Kurang jam 12.00 malam kami memulakan perjalanan.

Kami tiba di destinasi pertama kami iaitu di Makam Di Raja Kuala Kangsar iaitu terletak bersebelahan dengan Masjid Ubudiah Bukit Chandan.


Di sini bersemadinya darah darah di raja perak, oleh kerana masa kami amat terhad, tambahan pula destinasi ini tidak ada dalam rangka lawatan kami. kami terus mencari makam YTM Raja Kecil Sulong Perak, Dato Seri Ashman Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah.

Mengapa Makam beliau membuatkan Kami berhenti walaupun ia tiada dalam rangka lawatan kami?

Ini kerana semasa hayatnya beliau adalah Khalifah Tareqah Naqshabandiah Haqqani. Beliau lebih di kenali sebagai YM Sheikh Raja Ashman Shah Al-Sultani. Beliau telah menerima baiah Tarekah Naqshabandiah Haqqani daripada Sheikh Muhammad Nazim Al-Haqqani dari Syria.

Gambar Al marhum baginda bersama Maulana Sheikh Nazim
Tak di sangka sangka kami tiba pada genap 100 hari baginda pulang ke rahmatullah. Kelihatan persiapan majlis zikir diraja di makamnya semasa kami tiba.



Di sinilah Jasad baginda di semadikan.

Kami mengambil kesempatan berzikir Manakib Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani di makam baginda.
Banyak Kisah menarik tentang kisah hidup baginda yang di kongsikan oleh salah seorang anak murid beliau yang bersama sama dengan rombongan kami untuk di jadikan pedoman.

Antaranya, ketika hayat baginda beliau pernah menyatakan "SAYANG ku untuk isteriku, CINTA ku untuk Allah, HARTA ku untuk Maulana". Selepas pemergian baginda, bonda/isterinya (maaf kurang pasti) menemui diari milik baginda, menangis bonda/isterinya kerana tidak menyangka bahawa baginda seorang yang sangat pemurah. Di dalam diarinya baginda mencatitkan wang baginda yang di keluarkan untuk di dermakan untuk menegakkan agama Allah. Nyatalah sebahagian besar dari hartanya di belanjakan untuk memperjuangkan agamanya. Walaupun baginda dilahirkan dalam keadaan serba mewah, tapi hati baginda bukan lagi untuk kemewahan dunia, Berapa ramai lagi yang ada di akhir zaman ini yang sanggup menjual dunianya semata-mata untuk agama Allah dan umat islam kini. Apa yang di lakukan ini hanyalah kerana cintanya pada Allah SWT.

Di ceritakan lagi, Semasa upacara pengkebumian baginda, jenazah di usung di iringi dengan selawat sehingga beliau selamat di kebumikan dan di tutupi dengan azan magrib sebaik sahaja jenazah selesai di semadikan. Bukan itu sahaja pada saat ketika beliau di kebumikan ukiran awan membentuk kalimah Allah seperti betul betul di atas makamnya. sempat saya meminta gambar yang di rakam pada ketika itu.

kalimah Allah di perkarangan perkuburan pada ketika itu.
Begitulah Allah mengistimewakan para kekasihNya yang mencintaiNya, yang mengabdikan diri semata-mata untuk Allah SWT. Yang menjariahkan hampir keseluruhan hartanya untuk agamanya. Yang sanggup mengorbankan apa sahaja kerana cintanya pada umat kini. Seorang putera yang zuhudnya tidak terhingga.

Al-Fatihah...

Setelah selesai berzikir manakib dan berdoa di makam baginda, kami meneruskan perjalanan kami..

Bersambung...


- Anak Nurrussaadah -