Thursday 5 January 2012

Jelajah Sofi : Lawatan ke perkampungan Darul Fakar

Kehadiran Sheikh Mustafa semasa kami melakukan ibadah suluk pada awal Muharram banyak menimbulkan rasa ingin tahu, kerana dari perlakuan beliau yang agak misteri membuatkan kami ingin membalas lawatan beliau. Mujur ketika lawatan beliau kami sempat menyimpan nombor talifon anak murid beliau, memandangkan beliau tidak mempunyai talifon untuk berhubung. segala hubungan dengan orang dari luar adalah melalui anak muridnya.

Ayah telah mengaturkan satu pertemuan dengan Sheikh Mustafa melalui anak muridnya yang tinggal di Kuala Terengganu. Pada hari Khamis, selepas saja tawajuh, kami bersiap siap untuk bertolak dari Muar untuk ke. Saya ketika itu dalam keadaan serba salah, kerana sepatutnya saya terpaksa pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja. Namun keinginan untuk mengenali Sheikh Mustafa dengan lebih dekat membuatkan saya memilih untuk bersama sama ayah dan jemaah melawat beliau.

Kami seramai 8 orang menaiki sebuah Hilux dan sebuah kereta Myvi terus memulakan perjalanan kami pada jam tepat pukul 12 malam. Sepanjang perjalanan dalam keadaan agak letih saya memandu bergilir gilir dengan seorang jemaah, maklumlah selesai saja kerja di Kuala Lumpur saya terus memecut ke Muar untuk mengikuti majlis tawajuh yang seperti biasa diadakan di surau kami setiap khamis malam jumaat. Mujur saya menaiki kereta bersama sama ayah. Banyak yang kami bualkan, banyak juga maklumat dan ilmu yang ayah kongsikan. Sedar sedar kami telah pun tiba di Kuala Terengganu pada jam lebih kurang pukul 4.30 pagi.

Kami berehat di masjid itu sementara menunggu waktu subuh. saya cuba melelapkan mata, tapi sukar walaupun seluruh badan terasa letihnya. tak sabar rasanya sampai ke tempat Sheikh Mustafa, katanya di atas bukit yang jauh dari masyarakat. Lagipun ini adalah kali pertama selepas 10 tahun saya menjejakkan kaki ke Kuala Terengganu. Keadaannya memang sangat jauh berbeza. Setelah itu azan pun berkumandang. Kami bersolat jemaah bersama-sama penduduk di situ.

selesai sahaja kami bersolat jemaah, ayah menalifon salah seorang anak murid Sheikh Mustafa iaitu Pak Musa untuk memberitahu yang kami sudah pun sampai di Kuala Terengganu. Pak Musa meminta kami menunggu  di stesen minyak berhampiran memandangkan kami tidak begitu mahir dengan jalan di situ. Setelah beberapa minit menunggu sampailah dia, beliau membawa kami ke rumahnya, rupa rupanya beliau nak menjamu kami dengan sarapan pagi. kami bersarapan sambil memerhatikan gambar gambar di dinding rumah beliau. Terdapat gambar Sheikh Mustafa dan isteri serta gurunya sewaktu muda.

Setelah selesai kami terus bersiap-siap untuk ke tempat Sheikh Mustafa, kata pak Musa "tak boleh bawa myvi ni. kita nak naik bukit tinggi, kereta 4x4 sahaja yang boleh naik atas tu". kalau macam ni memang betul lah ape yang sheikh mustafa katakan semasa beliau menziarah ke tempat kami. bukan cerita kosong lah. bisik hati saya. kami menuju ke pasar dahulu sebelum mendaki bukit kerana anak muridnya mahu membeli sedikit barang untuk di masak di sana nanti.

setibanya di pasar kami hanya duduk berbual-bual sambil ayah bersembang dengan anak murid sheikh mustafa agak jauh dengan kami. setelah selesai membeli barang barang keperluan. kami terus menuju ke kawasan tempat di mana sheikh mustafa mendirikan rumah ibadahnya. masuk sahaja dalam kereta ayah kata " fuhh...7 tingkat suraunya atas bukit tu...murid dia kata 7 tingkat, mari kita tengok lepas ni". perasaan kami semakin membuak buak , tidak sabar rasanya untuk tiba di sana.

perjalanan kami dari kuala terengganu ke marang melalui pesisiran pantai mengambil masa lebih kurang 1 jam. setibanya di satu kawasan felda, kami terpaksa meninggalkan kereta myvi di situ kerana selepas ini kami akan memanjat bukit dengan mengunakan kereta 4x4 sahaja. saya memilih untuk duduk di belakang hilux kerana hendak merakam perjalanan kami ke sana.



perjalanan kami mendaki mengambil masa dalam setengah jam, anak muridnya seperti sangat mahir dengan jalan tersebut. manakala kami agak terkial kial tak biasa dengan jalan yang agak mencabar, takut takut nanti termasuk pula ke dalam gaung yang curam kalau laju sangat. Mencabar betul perjalanan kami. agaknya begini lah dugaan untuk menuntut ilmu dengan guru sebenar benar guru. berapa orang lagi yang tinggal pada zaman ini yang sanggup meredah hutan semata mata untuk bertemu dengan gurunya.

kami tiba di surau Sheikh Mustafa dan di sambut oleh anak muridnya dalam pukul 10pagi. Sheikh mustafa katanya dalam bilik suluknya lagi, dalam hati saya berkata "boleh la tidur sekejab ni. dah 24 jam aku tak tidur lagi ni" tak sempat nak melelapkan mata sheikh mustafa muncul dengan pakaian lusuh, kami bersalam dengannya dan dia duduk bersama sama kami. duduk saja beliau dengan kami, terus beliau menyampaikan maklumat dan berkongsi ilmu dengan kami tanpa membuang masa. Saya yang letih dan mengantuk terus terlupa tentang keletihan itu kerana terpesona dengan apa yang disampaikan oleh Sheikh Mustafa. mungkin sahabat sahabat yang lain pun begitu juga. semua kusyuk mendengar dan memikirkan apa yang disampaikan oleh Sheikh Mustafa.



Ayah yang duduk disebelah Sheikh Mustafa kelihatan tunduk dan mendengar dengan tenang apa yang di sampaikan oleh Sheikh Mustafa. Walaupun sebahagian apa yang di ceritakan oleh sheikh mustafa pernah juga di ceritakan oleh ayah. tapi ayah kelihatan seperti tidak tahu apa apa pada ketika itu. Dalam hati aku berkata "agaknya inilah adat adat ketika menuntut ilmu dengan guru, ada mesej yang ayah nak tunjukkan pada kami semua, selama ni aku main langgar saja adab adab ini".

Semasa kami berbual panjang datang pula anak murid beliau menghantar jamuan ringan. Kami di hidangkan dengan ubi bakar cicah kelapa parut bersama air teh. Memang jarang nak berjumpa dengan orang yang menghidangkan tetamu dengan makanan seperti ini. maklumlah saya duduk di bandar. yang peliknya tidak ada cawan untuk Sheikh Mustafa, rupa-rupanya ada cawan dan bekas air khas yang di bawa oleh anak muridnya. Cuma air kosong, seperti anak muridnya tahu apa yang perlu untuk gurunya. sedangkan kami dihidangkan dengan air teh pula. teringat pula semasa kami menghidangkan makanan untuk beliau ketika dia melawat kami di Muar. "pakcik tak makan semua ni, pakcik makan nasi putih dengan cili hijau je" kata beliau. Memang benarlah, Sheikh Mustafa sangat menjaga makanan beliau. Bekas air minum pun di letakkan dalam sebuah balang bersih dibaluti plastik oleh anak muridnya. Malu pula rasa saya nak minum air teh yang dihidangkan tadi.

Setelah itu kami di bawa oleh sheikh mustafa sendiri melawat seluruh kawasan suraunya. kelihatan anak muridnya sibuk memasang tile dan konkrit, terdapat beberapa tiang sebesar 3-4 pemeluk disitu. saya mula terfikir macam manalah mereka membawa naik tiang tiang ini ke atas, memang sukar di fikirkan oleh akal. kami di bawa ke setiap tingkat, dan tiba tiba anak anak murid beliau berhenti bekerja dan duduk di satu ruang lapang di dalam surau tersebut dan mula berselawat dan berzikir sekuat hati. Agaknya inilah jadual rutin mereka ni, cukup saja masa terus duduk beramai ramai berselawat dan berzikir, yang di dapur pun turut bersama sama mengikut selawat dan zikir mereka walaupun sedang memasak dan menjaga anak.

Kami di bawa ke seluruh kawasan surau beliau. Kalau difikirkan dengan akal, mana logiknya orang bina surau 7 tingkat di atas sebuah bukit yang jauh dari masyarakat. Nak membinanya pun akal kata mustahil, tapi di sinilah berdirinya sebuah surau yang di bina oleh Sheikh Mustafa bersama jemaahnya untuk melatih diri mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Pada saat saat terakhir, Sheikh Mustafa yang membahasakan dirinya Ayah Chik mengajak kami ke sebuah bilik suluknya. tempat dimana dia berkholwat, menyendiri, mengasingkan diri dari manusia lain, bilik yang besarnya sebesar 2 liang kubur terletak di bahagian tingkat paling bawah surau ( dibawah tanah ). di dindingnya tertulis berbagai bagai khafiat, doa, selawat dan lain lain ( kurang pasti kerana agak gelap). kami semua masuk kedalam bilik tersebut, kata Sheikh Mustafa "bilik ini hanya anak murid kesayangan ayah chik je boleh masuk, tapi korang datang dari jauh, ayah chik kasi masuk lah". Kami menghabiskan masa lebih kurang dalam 15 ke 20 minit di situ. merasai sendiri suasana bilik tersebut. Beruntung rasanya dapat masuk ke bilik tersebut, rasa keletihan sepanjang hari itu dah terbayar.

Sebelum pulang kami duduk di perkarangan surau dan sheikh Mustafa memberi beberapa salinan kepada ayah untuk di turunkan kepada kami jemaah Nurrussaadah. Antaranya selawat asma` rasulullullah yang jarang di bacakan orang lagi. Tiba tiba Sheikh Mustafa meraba raba kocek baju lusuhnya. lalu dihulurkan duit kepada ayah "nah ayah duit minyak datang sini". saya ketika itu terfikir," hari tu dia datang sana pun kasi duit kat ayah dan mak, kita sampai sini pun dia kasi lagi. bukan sikit tu. mau 3 ke 4 ratus tu". habis saja saya terlintas begitu, beliau seluk lagi kocek bajunya. " nah ayah duit makan anak anak", "ayah chik dulu papa kedana, tak ada apa apa, tapi sekarang dunia keliling ayah chik". teringat pula kata ayah yang memetik sebuah hadith : " barang siapa yang mengejar akhirat, dunia akan datang bergolek kepadanya". Orang kaya mana yang nak bagi duit kat tetamu walau kaya macam mana pun. tapi Sheikh Mustafa ni lain pula jadinya. Dah lah bagi kami ilmu, duit pun dia bagi.



Sedar tak sedar sudah pukul 2 lebih, sekejab saja masa berlalu. kami terpaksa bertolak pulang memandangkan destinasi kami yang kedua ialah bertemu dengan seseorang di johor baharu pula. ayah sudah berjanji dengannya pada pukul 10 malam ini. setelah mengucapkan terima kasih. kami pun pulang, dan memasang hasrat untuk datang kembali ke sini satu hari nanti.


bersambung...

-Anak Nurrussaadah-