Monday 14 November 2011

Assalammualaikum W.B.T

Alhamdullillah,

Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam. Dia lah yang memilih para kekasih-Nya di antara hamba-hambaNya yang dikehendaki. Menempatkan cahaya dan rahsia di dalam kalbuNya, Hingga menerangi langit dan bumi dan memberikan kemuliaan kepada mereka dengan berbagai macam karamah.

Selawat serta salam semoga tetap terlimpahkan kepada Nabi Muhammad S.A.W, keluarga serta sahabatnya. Barangsiapa mewarisi ilmu dan amaliahnya, maka patutlah kiranya mewarisi pula ahwal dan maqamnya.

Syukur kehadrat Allah S.W.T, kerana dengan limpah kurniaNya telah memberi ilham kepada saya untuk menulis rencana ini bagi menyambut ulang tahun ke-10 Baitul Ibadah Nurussa`adah.

Walaupun saya bukan Ahli dalam bidang penulisan, tambahan pula ilham pun tak seberapa terang, tidak salah rasanya jika saya mencuba sekurang kurangnya untuk menjadi kenangan dan ingatan apabila saya tidak lagi bersama-sama dimasa akan datang.

Saya dilahirkan pada 1945, berkahwin pada tahun 1968 dan dikurniakan 9 orang anak,5 lelaki dan 4 perempuan. Mula mengamal Tareqat Samaniah dari tahun 1974 yang diterima daripada Allahyarham Ayah Hj.Zainal Abidin (lebai Saenan), Janda Baik, Bentong, Pahang Darul Makmur. Pada tahun 1994 (20 tahun selepas), telah menerima pula baiah Tareqat Naqsyabandiah Samaniah daripada ayah Hj. Wahab Lenggeng, Negeri Sembilan. Mula menjalankan ibadah suluk dibawah pimpinan beliau mulai tahun 1997 -2000 dan dilantik sebagai khalifah menurunkan baiah, memimpin suluk dan tawajjuh serta amalan-amalan lain yang bersangkutan.

Pada tahun 1996, saya telah menerima pula baiah tareqat naqshabandiah Qadariah daripada Kiyai Hj. Ahmad Asrori, Pondok Pesantren Al -Ishaqi, kedinding, Surabaya, Indonesia.

Pada tahun 2006, saya telah menerima baiah Zikir Manaqib Sheikh Abdul Qadir Jailani daripada Kiyai Hj. Ahmad Muzakki Syah, Pondok Pesantren Al-Qodiri, Jember, Indonesia dan seterusnya dilantik sebagai imam Manaqib.

Setelah menerima ijazah sebagai Khalifah Tareqat Naqshabandiah Samaniah daripada Ayah Hj Wahab Lenggeng pada tahun 2000, saya diarahkan pulang ke kampung halaman di Muar, Johor bagi mengembangkan amalan Tareqat tersebut di daerah ini. Pada bulan julai 2001 bersamaan 1hb rejab 1422Hijrah, Baitul Ibadah Nurrusa`adah mula beroperasi. Di rasmikan sendiri oleh Ayah Hj Wahab. Dengan ini, bermulalah tugas saya bagi memastikan Baitul Ibadah Nurrusa`adah ini berfungsi sebagaimana yang di amanahkan.

gambar hadapan Baitul Ibadah Nurrusa`adah
papan tanda penunjuk arah yang dipasang untuk memudahkan semua